We are the Ink, You are the Pen

Membuka Pekong Sendiri?

Perasaan cintakan kepada bangsa memang tidak dapat diterjemahkan
dengan kata-kata. Kerana bangsa sendiri itulah anak dan isteri, ibu
dan ayah, saudara-mara, sahabat handai dan jiran atau kelompok
masyarakat sendiri disekeliling. Benarlah, kita mahukan bangsa yang
kuat dan bertamadun. Bangsa yang memerintah dan berkuasa. Akan tetapi,
bangsa yang dikehendaki sebenarnya ialah bangsa mempunyai nilai
kemanusiaan, berakhlak mulia dengan akhlak Islam, berakidah kepada
Allah yang satu dan mengabdikan penyembahan total kepadanya.

Kecelaruan

Namun, sekiranya sayangkan bangsa sehingga kita sanggup membiarkan
bangsa sendiri melakukan mungkar dan fasad (kerosakan), biadap dan
tidak sopan, hanya berkepentingan untuk diri sendiri, berkelahi sesama
sendiri kerana berlainan fahaman dan ideologi atau mempertahankan
bangsa walaupun bangsa sendiri tersasar jauh dari pegangan Islam.
Perlakuan ini adalah satu jenayah besar terhadap ummah Islam.

[An Nur 24:34]

Dan sesungguhnya, Kami telah menurunkan kepada kamu,
ayat-ayat keterangan yang menjelaskan (hukum-hukum suruh dan tegah),
dan contoh tauladan (mengenai kisah-kisah dan berita) orang-orang yang
telah lalu sebelum kamu, serta nasihat pengajaran bagi orang-orang
yang (mahu) bertaqwa. Hubungan Selayaknya kita melebar-luaskan rasa
hormat dan berkasih sayang diantara semua. Dengan berbangsa-bangsa itu
kita dikehendaki berkenal-kenal diantara satu sama lain, saling
mengajak kepada seruan Allah untuk mentauhidkannya dan beribadat
kepadanya. Melaksanakan tanggungjawab berkomunikasi secara baik dan
bijak di antara satu sama lain.

[Al Hujurat 49:13]

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah
menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan
kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan
(dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya
semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di
antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan
dan amalan kamu).

Resah

Peristiwa BERSIH 3.0 atau sebelumnya, atau mana-mana protes rakyat
yang berlaku itu memberikan kita gambaran dan isyarat yang jelas.
Petandanya, kita boleh bersama di dalam beberapa isu. Lihatlah, semua
bangsa boleh memberikan kata sepakat dan bersama-sama menuntut hak.
Maknanya semua kita mahukan kesejahteraan dan kebahagian hidup. Tidak
suka kepada ‘kepengkaran’ dan ketirisan di dalam pentadbiran dan
kepimpinan. Kita mahukan layanan yang seimbang di atas hak kemanusian,
kebajikan dan keadilan.

Namun, apa yang berlaku, hak bersuara itu dikasari, dicabuli,
‘disergah’ dari perbagai penjuru sehingga menimbulkan rasa ketakutan,
stress, diasak dengan maki hamun dan pukulan, tendangan dan hentaman
sehingga ‘memahatkan’ rasa geram, dendam kesumat dan marah yang amat
sangat terhadap pelaku-pelaku. Hak mereka dan suara mereka langsung
dinafikan.

Senario ini membawa gelombang perubahan dan pembaharuan. Perubahan
berfikir, bertindak dan menilai. Rakyat mahukan pembaharuan di dalam
pemerintahan negara. Rakyat sudah ‘celik’ dan bukan seperti lembu
dicucuk hidung dan boleh ‘ditarik’ kemana sahaja.

Keinginan kita semua supaya pemerintah bersikap tiada rasuah, adil
pada semua lapisan rakyat, tiada ketirisan dalam pentadbiran, urus
tadbir yang baik, tiada pembaziran, tiada kerakusan dalam pemilikan
harta dikalangan pemerintah, jujur, amanah dalam melaksanakan
tanggungjawab dan tugas dan bijak menguruskan wang rakyat demi rakyat
dan bukannya perut dan tembolok sendiri atau pihak-pihak tertentu
sahaja.

Mereka sedang melalui proses kehidupan yang matang, sekarang dan untuk
masa hadapan. Mereka sudah pandai berfikir mana yang terbaik untuk
diri sendiri, keluarga, negara dan yang paling utama ialah untuk masa
depan Islam. Sedangkan pemerintah masih angkuh dengan bayangan
sendiri, asyik masyuk diulik dengan ‘irama’ dan ‘tarian ciptaan
sendiri’, sedang penonton melihat dengan rasa mual, muak dengan
telatah, gelagat dan aksi yang cukup-cukup sumbang rentaknya..

Apakah sebenarnya?…

Apakah ini bahana kerana membangkang, anti kerajaan, tidak sehaluan,
berlainan fahaman dan akidah politik?…

Inikah layanan yang baik, mesra atau tidak lebih sebagai talam dua
muka terhadap rakyat oleh pemerintah dan penguasa yang berkuasa?.

Apakah protes mereka itu semata-mata untuk memburukkan proses
pemerintahan negara dan langsung tidak membantu untuk membangunkan
negara?

Apakah para protes bangun beramai-ramai untuk menjahanamkan negara
sendiri?

Idaman

Bilakah kita hendak merasa kehidupan yang menepati syariat Islam,
penuh segala kebajikan dan nilai kemanusiaan?. Mengambil berat semua
keperluan rakyat jelata tanpa mengira semua lapisan masyarakat, bangsa
atau agama.

Buktinya sudah pun telah ada. Baginda Rasullullah, para Khalifah
Arrasyidin, pemerintah-pemerintah Islam selepasnya telah mengekalkan
keharmonian, kebajikan dan kesucian Islam di dalam pemerintahannya.
Bangsa Islam yang telah dilihat sebagai bangsa yang bertamadun dan
membawa pembaharuan di dalam kehidupan duniawi dan memimpin ummah
untuk kesejahteraan hidup diakhirat. Mereka cinta kepada Islam dan
ikhlas mengabdikan diri kepada Allah Taala.

Related posts:


Leave a Comment

Your email address will not be published.


+ 3 = twelve

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>