Facebook Twitter Email

Zaman telah beransur dan berlalu. Udara telah berganti. Binaan telah bertambah. Kenderaan telah bertukar. Pengetahuan telah meluas. Manusia telah berumur, hidup dan juga mati. Generasi bersilih generasi. Hajjah Zainab di ruang tamu selesai solat maghrib. Dia membaca kalam tuhannya yang bermaksud,” berpegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah dan jangan berpecah belah”. 70 tahun umurnya telah berlalu.

Matanya mengintai cucu lelakinya, Ahmad di celahan jendela bersama rakan-rakannya, sedang bersiap untuk malam merdeka. Ain, cucu perempuannya yang baru menamatkan pembelajarannya di mesir sedang menyiapkan makanan untuk seisi keluarga.

Sebatang pen dan sehelai kertas di sisi Hajjah Zainab. Pen dipegang erat dan kertas diconteng.

“Hemat pertama, udara dulu bersatu dan mengeluarkan bunyi yang sama ”merdeka, merdeka, merdeka”. Mereka telah menjajah kita, tanah air kita menjadi milik mereka. Jati diri, harta, nyawa dan tanah air kita dirampas mereka. Kita tidak berdiam, kita bersatu mengumpul kekuatan dan tenaga, kita berjuang dan berkorban apa saja untuk tanah air kita.

Para penulis menulis makalah-makalah ke arah memerdekakan negara. Para pendidik mendidik anak bangsa untuk cintakan tanah air. Pemuda-pemuda berkumpul, mengumpul tenaga dan bersiap untuk membebaskan negara dari penjajah. Siap fizikal, jiwa, mental, ilmu. Ilmu agama,ilmu diplomatik, ilmu mempertahankan diri. Sebut sahaja nama penjajah,itulah nama yang ingin disingkir keluar dari negara ini. Pemimpin ketika itu menyatukan masyarakat serantau untuk memerdekakan negara ini”

Ain menghidangkan secawan teh susu kepada Hajjah Zainab, susu sulungnya itu sopan meletakkan cawan di hadapannya. Hajjah terus mencari-mencari perkataan untuk ditulis.

” Hemat kedua, merdeka dulu titik mula kepada merdeka yang lebih besar. Penaklukan dan penjajahan mereka lakukan atas kita, menyedarkan kita yang sentiasa lalai akan perancangan mereka. Kita berpecah dan bergaduh untuk merebut sebatang anak sungai. Kerana kedudukan kita sanggup untuk menikam darah saudara kita. Kerana sekarung emas kita memberi ruang kepada mereka.

Kita yang berjiwa pahlwan telah hilang nilai dan jati diri kita.Singa-singa yang berkuasa telah bertukar menjadi kijang-kijang yang dikurung. Kita dulu yang menguasai rantau ini mengikut telujuk mereka.Setelah dijajah bertukar -tukar rupa penjajah, barulah kita bangkit dan mengeluarkan semula sifat-sifat singa yang lama telah terpendam dan tersembunyi dalam diri kita.

Mereka tidak membiarkan kita begitu sahaja. Kita baru sahaja dimerdekakan tanah air. Singa -singa yang dikurung baru sahaja dikeluarkan dari kurungan setelah dibela dan dididik sehingga dia menyangka dirinya kijang .”

Ahmad masuk ke rumah dan keluar semula. Nenak yang tua itu dibiarkan sahaja di ruang tamu bersama pen dan kertas. Ain yang dari tadi melihat neneknya menulis.

” Nek, tulis apa tu di malam merdeka ni?”

“Tulis pesan” jawabnya mudah.

“Hemat ketiga, kini walau tanah ini telah merdeka, tapi masih belum merdeka sepenuhnya. Tanah yang merdeka dan dimiliki ini, istana Kota Islam Melaka masih belum tertegak di atasnya. Tiangnya baru ditegakkan, dinding dan bumbungnya yang indah masih belum nampak.Empayar yang luas rantaunya ini masih belum seperti dulu, baru ada lakaran. Garis -garis rantaunya masih belum bersambung dan bersatu.

Merdeka yang dulu kita bersatu dan berkumpul untuk mendapatkan tanah ini. Kini dengan kesatuan dan kesepakatan yang sama, kita boleh tegakkan tiang seri, dinding, bumbung istana Kota Islam kita.Perjuangan, pengorbanan, untuk menegakkan istana ini perlukan kekuatan dan tenaga semua.

Umat yang masih merasa dirinya lemah, perlu diasuh dan disedarkan semula bahawa dirinya adalah umat yang menguasai dan memimpin rantau ini. Jangan kita mengulangi sikap kita yang sama dulu, tiang yang ada jangan dibiarkan runtuh begitu sahaja, jangan kita mengikut telunjuk mereka. Jangan kita diam dan akur pada perintah mereka. Kita adalah umat yang diberi tanggungjawab memimpin mereka semua, bukan dipimpin oleh mereka.

Hemat ini ringkas untuk cucu-cucuku yang nek sayangi, ini zaman cucu untuk memikul amanah ini. Amanah menegakkan istana Kota Islam di atas tanah ini.”

Ain yang dari tadi sibuk menyiapkan makanan, duduk sebelah nenaknya,tanda selesai tugas.

“Ain ambik ni, simpankan dalam sampul, esok pagi bacalah dengan Amad sekali”

“Ada apa ni nek?”

“Hemat di pagi merdeka”

Keesokan paginya. Saluran TV dibuka di ruang tamu. Paparan menunjukkan perayaaan sambutan kemerdekaan kali ke-55. Ain membuka pintu bilik Hajjah Zainab untuk memanggilnya sarapan. “Umi, umi cepat ke sini!”Ain memanggil ibunya.

Di atas sejadah, bertelekung Hajjah Zainab terbaring tak sedarkan diri. Ain menggoyangkan tubuh nenaknya yang lama tak dia ketemu kerana di perantauan. Taqdir telah dicatat. Nenaknya itu dipanggil bertemu kekasihnya. Meninggalkan amanah untuk dipikul.

 

Ramadhan Al-din

http://ramadhanaldin.blogspot.com/

Related posts: