Facebook Twitter Email

Setiap ikhwah atau akhawat yang membawa usrah, pasti ada visi yang besar untuk mutarabbi masing-masing. Slogan kita, mentarbiyyah sehingga mutarabbi lebih hebat dari murabbi. Bahkan kalau kita komit dengan slogan ini, bermakna kekuatan Islam akan sentiasa bertambah dari zaman ke zaman.

Tetapi, apakah ‘neraca’ yang kita gunakan untuk menilai visi kita?

Tak kurang ramai para murabbi yang menilai maksud ‘kehebatan’ itu relatif kepada dirinya sendiri. Kalau dia seorang yang handal membawa usrah, maka hebatnya mutarabbi itu ialah bila dia hebat membawa usrah. Kalau murabbi itu petah berbicara, hebatnya mutarabbi itu, ialah apabila dia mampu memberi taujih yang menggetarkan hati para hadirin di dalam suatu majlis.

Bagaimana pula kalau mutarabbi kita itu kelebihannya berbeza dari kelebihan sang murabbi? Contohnya, seorang murabbi, sangat hebat membentang modul Ini Sejarah Kita, tetapi mutarabbi pula, tak pandai bercakap. Kurang membaca. Yang dia tahu dan minat, video games. Atau bola sepak. Adakah kita akan terus melabelnya ‘tidak hebat’ di kaca mata kita? Apakah pula pendekatan kita dengan mutarabbi? Adakah kita akan memaksa dia untuk menjadi seorang yang hebat memberi ISK juga? Dan memaksa dia meninggalkan minat-minatnya kerana kita menanggap minatnya itu tiada nilai di sisi dakwah?

Manusia memang berbeza potensi, berbeza minat, berbeza karakter dan berbeza bakat. Ada yang hebat bercakap. Ada yang hebat membawa usrah. Ada yang hebat bermain bola. Ada yang hebat dalam lakonan dan drama. Itu baru bakat. Dari segi minat, ada yang minat membaca. Ada yang minat main facebook. Ada yang minat game. Ada yang minat berkumpul ramai-ramai dan berborak. Dari segi sikap, ada yang kasar, ada yang lemah lembut, ada yang ‘otai’, ada yang pendiam, ada yang lawak. Kerja murabbi, ialah menyatukan mereka yang berbeza minat, bakat, karakter dan potensi di bawah satu panji. Iaitu panji dakwah Islam. Bahkan menyatukan saja tidak cukup, ia wajib mengembangkan potensi tersebut! Cabarannya ialah untuk mencari celah-celah dakwah bagi setiap bakat ini. Sebab itulah, penting bagi murabbi memiliki 2 ciri: kreatif dan berani mencuba. Bilamana seorang murabbi bijak mengurus bakat mutarabbinya, maka di situ kita telah memenuhi perintah Allah SWT dalam Quran:

Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya: sedang Allah mengetahuinya, apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan)” (Al-Anfal: 60)

Demikianlah sunnah Rasul SAW dalam mendidik para sahabat. Ia menyatukan bakat dan sikap para sahabat di bawah panji perjuangan. Khalid Al-Walid handal dalam peperangan, lalu dilantik sebagai general tentera muslimin. Abd Rahman bin Auf mahir berniaga, lalu digunakan untuk kekuatan ekonomi jamaah Islam pada masa itu. Uthman bin Affan hebat dalam negosiasi, dan digunakan dalam perundingan perjanjian Hudaibiyah. Said bin Zaid susuk yang jarang disebut dalam sirah Islam, tetapi dijanjikan syurga oleh Nabi. Tha’labah remaja belasan tahun yang namanya juga tidak sepopular Umar atau Abu Bakr, tapi taubatnya menjadi teladan bagi seluruh kaum muslim. Huzaifah ibn Yaman, penyimpan rahsia Nabi. Dalam konteks moden, ala-ala CIA atau KGB. Mus’ab bin Umair, manis bicaranya sehingga mampu menarik minat manusia mengenal Islam; maka beliau dihantar ke Madinah untuk memulakan dakwah di sana. Abu Dujanah, seorang miskin, tetapi dalam peperangan, keberaniannya menjadi sebutan kaum mu’min.

Perbezaan bakat dan sikap mutarabbi dari murabbi, tidaklah bermakna dia kurang hebat. Atau dia tidak memenuhi muwasofat yang kita inginkan. Cumanya kita sebagai murabbi masih belum berjaya mencari ruang dakwah yang sesuai untuknya. Jangan terlalu gusar atau berputus asa kalau mutarabbi gila bola, suka main game, suka main muzik..itu semua kekuatan yang inshallah akan memanfaatkan ummah suatu masa nanti. Raikanlah perbezaan ini dengan penuh kasih sayang, kerana dakwah kita menyatukan.

 

Umar Abdul Aziz

 

Related posts: