Melangkah perlahan masuk ke perkarangannya,
Aku terlihat sebuah menara,
Menara yang dulunya muazzin lantang melaungkan azan,
Kini di situ loceng-loceng gereja bergantungan.
Melangkah perlahan lagi,
Ingin aku hayati,
Kegemilangan Islam yang dulunya bergemerlapan,
Kini sirna kerana penganutnya, tenat dirasuk penyakit wahan.
Teruskan melangkah lagi.
Tetapi aku rasa seperti tidak dapat berdiri;
Kakiku longlai mahu rebah ke bumi;
Rasa terkejut menampar diri!
Ku lihat di dalam masjid itu,
Patung-patung jahiliyah di sana-sini!
Patutkah aku berasa marah?
Adakah aku berasa kecewa?
Yang pastinya sedih sedang menyelimuti,
Air mata pasrah laju mengalir di pipi
Begitu besar masjid tua itu.
Tidak ada Al-Quran di dalamnya,
Tidak ada kalimah tauhid bergema!
Yang ada hanyalah ukiran berhala,
Disembah, dibangga-bangga.
Kaki yang longlai teruskan melangkah,
Aku melihat sebuah mihrab!
Masih gagah tersergam indah,
Tetapi, tidak ada imam!
Di manakah makmumnya?
Mihrab itu sepi,
Ia kini dipagari!
Berjalan di dalamnya,
Pengawal gereja di mana-mana,
Menyuruh aku diam,
Ketika aku perlahan mengeluarkan suara,
Meminta aku menghormati,
Pelawat gereja yang mahu mensucikan dosa.
Aku berasa sungguh tak berguna!
Aku tidak mampu berbuat apa-apa
Lalu apa?
Anggukkan kepala.
Akur arahannya.
Tiada kuasa.
Sedangkan masjid itu, umat Islam pemiliknya!
Wahai semua!
Sampai bila kita harus begini?
Masjid itu kita perlu takluki kembali!
Jangan ditanya mana Salahuddin dan Fateh abad ini.
Jika diri sendiri bergoyang kaki, tak pernah mahu peduli.
Kembalilah kau kepada agama rakanku,
Perubahan harus bermula dari mu dulu!
Andalusia tetap akan terus begitu kau tahu.
Sekiranya kau tak mahu sertai, tak mahu membantu!
Di Espana itu,
Adakah hanya untuk riang ria bergembira?
Jatuhnya Andalusia,
Haruslah diambil ibrahnya!
Agar kita belajar dari kesilapan lama.
Sebagai musafir aku meminta,
Semoga nanti ku akan ke sana lagi,
Menjejakkan kaki, meletakkan dahi,
Sujud pada Allah, memuji-muji,
Berjemaah bersama di atas bumi,
Masjid Cordoba itu, kita Islamkan kembali.
10.10am
23 Disember 2011
(Gerbang-gerbang masjid, bersama ukiran dan kerusi gereja di dalamnya)
(Menara azan, kini sarat dengan koceng-loceng)

(Masjid cordoba dengan gerbang-gerbang indah)
(Ada apa atas gerbang-gerbangnya? Ada ukiran patung yang dibangga-bangga)
(Mihrab yang gagah berdiri, Tetapi sepi kerana dipagari)
Naztiana Omar
naztianaomar.tumblr.

0 Comments
You can be the first one to leave a comment.